Friday, November 30, 2012

Saya Surirumah Bekerjaya: Part 2

Assalamualaikum...

Hari saya bermula awal seperti biasa. Rasa kekok sikit sebab 2 daripada anak saya sedang bercuti dirumah makcik mereka.Mungkin 4 atau 5 hari, saya tak akan berjumpa mereka, sebab saya akan ke Kelantan atas urusan keluarga pada hujung minggu ini. Saya jarang berpisah daripada anak-anak, jadi bila berjauhan, memang saya emosi sikit.

Berbalik kepada cerita saya semalam tentang bagaimana saya menjadikan minat DIY menjadi satu kerjaya, ia adalah satu proses yang panjang dan berterusan.
Tahun 2003, saya sempat bekerja disebuah outlet perniagaan, waktu itu saya juga sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan. Bila ada waktu terluang saya akan siapkan 'doorgift' yang dibawa. Satu hari, ada seorang pelanggan yang masuk ke kedai dan ternampak hasil kerja saya yang tertinggal di atas satu rak. Selepas membelek-belek doorgift tersebut, beliau tanya dimana saya beli. Bila saya cakap saya yang buat, beliau terus beritahu ingin menempah daripada saya untuk majlis perkahwinan saudaranya. Saya terkejut, agak 'blur' tapi gembira dan terus memberi komitmen bahawa saya boleh buatkan. Beliau merupakan pelanggan pertama saya, dan masih menjadi pelanggan saya hingga kini.
Sebelum mendapat tempahan yang sebegitu, maksud saya disini, pelanggan menempah dengan melihat hasil kerja, saya selalunya menawarkan diri untuk membuat DFY(Do It For You) untuk rakan-rakan.Pada waktu itu, saya lebih fokus  membuat hantaran dan 'doorgift' perkahwinan. Saya hanya minta mereka belikan barang, dan bayaran atas servis saya tidak tetapkan.Bergantung kepada berapa sahaja yang ingin diberi. Itu antara bentuk 'charity' yang saya 'perlu' buat ketika itu. Matlamat saya, adalah untuk menambah 'skill' dan dalam waktu yang sama, saya mahu orang tahu, saya mempunyai suatu kepakaran yang mungkin boleh membantu sesiapa. Itu cara saya mempromosi diri, pada ketika itu.
Promosi sebegitu sangat tidak efisien, saya akui,tapi saya perlu teruskan Di tambah lagi dengan sikap saya yang kurang yakin dengan kebolehan diri, saya hampir tenggelam dengan impian yang ingin dicapai.
Tahun 2004, selepas melahirkan anak pertama, dugaan saya makin getir, bila ibu yang disayangi didiagnos dengan kanser rahim .Saya mengambil keputusan balik ke kampung dan menjaga ibu. Bermulalah perhubungan jarak jauh antara saya dan suami.Saya sangat berterima kasih kepada suami yang amat memahami emosi saya ketika itu dan kebenaran menjaga ibu saya gunakan sebaik mungkin.Saya makin sibuk dengan tugas baru sebagai 'Personal Assistant'  ibu. Terima kasih kepada kakak dan ayah yang banyak membantu tugas menjaga anak sulung saya ketika itu.
Terlalu banyak ranjau yang dilalui yang tak mampu saya nak tulis pada waktu ini.Tapi yang pasti,pengalaman menjaga ibu ketika itu, pada saya amat berharga dan membuatkan hubungan kami makin akrab. Saya berada ditahap sangat takut untuk tinggalkan ibu sendirian. Bila ibu perlu menjalani kemoterapi, saya masih ingat ,saya tidur dilantai hospital beralaskan tikar kerana saya tidak mahu berenggang dengan ibu.Saya bersungguh-sungguh menjaganya dan saya tidak mahu ibu cepat mengalah pada keadaan.Peluang bersama rakan-rakan ibu yang sama-sama didiagnos kanser juga telah banyak merubah pandangan dan cara saya berhadapan dengan masyarakat sekeliling.Saya amat bersyukur kerana Tuhan memberi saya pengalaman itu.
Dalam waktu tersebut,saya masih membuat DIY walaupun ketika itu agak susah juga mendapat tempahan.Saya pernah minta kawan masukkan hasil kerja dalam internet, tapi, pada waktu itu, internet masih lagi bukan  'media social' yang utama. Apa yang saya cuba kongsikan disini ialah, walaupun sibuk menjaga ibu,saya masih meneruskan usaha membina kerjaya.Tiada titik noktah  dalam perjalanan yang panjang itu, dan sehingga kini saya masih meneruskannya.Walau apa sahaja yang bakal saya lalui, saya terima, saya hadapi dan saya tidak suka meramal masa hadapan.Saya cuma meletakkan impian, kerana impian boleh menjadi perangsang kepada saya untuk pergi ketahap yang lebih tinggi.

Antara impak paling besar dalam pengalaman saya menjaga ibu, adalah saya menjadi lebih kuat dan saya tidak mudah mengalah. Ibu adalah insan yang tidak pernah memandang rendah kebolehan saya, dan saya belajar mewarisi sikapnya. Saya tidak suka memandang rendah kebolehan diri saya dan orang lain yang berada disekeliling saya. Kawan-kawan, jika ada rakan-rakan kita yang ingin berjaya, yang ingin buat perubahan, berilah mereka galakan. Nilai-nilai positif perlu di terap dalam diri setiap insan. Saya cukup yakin, orang yang penuh dengan nilai positif dalam diri, adalah orang yang paling senang beroleh kejayaan. Bila sudah biasa berfikiran positif, apa saja racun yang datang, kita mampu menelannya umpama madu yang masuk ke dalam. Jadi, jika anda ingin berubah, lakukan sesuatu SEKARANG!! Jangan berlengah, kerana nanti kita akan kembali berasa selesa dengan kebiasaan  dan lebih lambatlah kita dapat melihat hasil tuaian usaha kita.

2007, adalah tahun yang sangat mencabar dalam hidup saya. Ibu meninggalkan saya pada bulan Januari, dan ibu  mentua saya juga meninggal dunia pada tahun yang sama. Kedua-dua peristiwa besar ini memberi kesan emosi yang amat sangat kepada saya dan suami serta keluarga.Saya dan suami menjadi lebih rapat dan kami amat menghargai satu sama lain..Selepas ibu pergi, suamilah orang yang paling kuat memberi sokongan kepada saya meneruskan apa yang saya buat sekarang. Bagi mengembalikan aura kehadiran ibu dalam hidup,  saya mula membeli mesin jahit kerana ibu sangat minat menjahit. Agak kesal kerana tidak mewarisi kemahiran ibu menjahit pakaian, saya mula mencuba projek-projek DIY yang berkaitan dengan jahitan. Dari situlah saya mula pandai menjahit bag, langsir dan sebagainya. Saya mula bereksprimentasi segala kemahiran yang saya ada sehingga saya mampu menghasilkan pelbagai produk untuk dijual. Dan sehingga kini saya masih belum berhenti menghasilkan sesuatu kerana saya tidak suka memberi titik noktah kepada potensi diri.Saya yakin, kita boleh mencapai lebih daripada apa yang kita jangkakan.Jangkaan adalah satu impian, dan impian sentiasa boleh diperbaharui.

Kawan-kawan,
Saya menulis hari ini, kerana saya yakin, pengalaman saya perlu dikongsi, dan medium ini merupakan antara yang terbaik pada saat ini. Saya tidak mensasarkan pengalaman saya boleh memberi inspirasi kepada semua orang, tetapi jika boleh merubah seseorang pun sudah cukup baik.Jika saya boleh, saya yakin, lebih ramai orang boleh mencapai apa yang mereka impikan. Sebagai penutup hari ini, saya petik kata-kata seorang ibu bekerjaya dari Indonesia, tapi maaf,saya lupa namanya. Kata beliau, " Jika Sesuatu Kejayaan Datang Dengan Mudah, Tidak Mustahil Mudah Juga Jatuhnya" Moral yang saya dapat, biar susah caranya kita mendapat sesuatu, Insya allah jika jatuh, kita bersedia untuk bangkit semula.

Till next time.
Assalamualikum wbt.



4 comments:

  1. bersemangat saya bila membaca entry ini.. Berusaha dengan lebih kuat lagi untuk melangkah ke zon selesa.. thanks sebab entry nih penuh dengan keyakian... :)

    ReplyDelete
  2. semangat sy berkobar2 bla baca pengalaman akak..hrp2 sy pun akan mencapai kejayaan sperti ape yg sy impikan..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum...
    My Dear Frens,

    Semoga niat baik kita untuk pergi ketahap yang lebih tinggi akan dipermudahkannya.Insya allah.
    Thanks atas respond anda.Really appeciate it.Sentiasa lanjutkan perkembangan anda untuk mencapai impian,supaya boleh dikongsi bersama yang lain. :D

    ReplyDelete
  4. Pengalaman mematangkan kita. Sentiasa belajar untuk menjadi lebih baik. Perkongsian yang cukup bermakna. Thanz Kham.

    ReplyDelete